KUALA LUMPUR – Empat penjenayah ditembak mati selepas disyaki terbabit dalam kes penculikan bagi meminta tebusan sebanyak RM5.4 juta dalam kejadian di Skudai, Johor malam tadi.
Suspek pertama maut dalam aksi berbalas tembakan dengan polis selepas diekori ketika menaiki kereta jenis Perodua Kelisa di Jalan Skudai-Gelang Patah pada pukul 11.25 malam tadi.
Tiga lagi suspek pula maut ditembak dalam kejadian berbalas tembakan di sebuah rumah di Taman Emas, Skudai pada pukul 12.05 tengah malam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes culik ke atas lelaki warga China dan wanita tempatan di susur keluar Plaza Tol Mex, Cyberjaya pada 11 Julai lalu.
Katanya, suspek terdiri daripada empat lelaki menggunakan kereta pelbagai guna (MPV) mewah jenis Toyota Alphard.
“Dua mangsa dibebaskan empat hari kemudian selepas adik mangsa yang merupakan warga China membuat bayaran dalam bentuk bitcoin berjumlah AS$ 1.1 juta (RM5.4 juta) kepada suspek.
“Hasil siasatan dan risikan JSJ Bukit Aman berjaya mengenal pasti suspek yang terlibat dan berlaku adegan berbalas tembakan dalam usaha menangkap suspek yang terlibat,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 11.25 malam itu, suspek menaiki kereta Perodua Kelisa cuba meloloskan diri sebaik menyedari dia diekori pihak polis di Jalan Skudai-Gelang Patah
“Suspek melepaskan tembakan ketika diminta berhenti. Berlaku kejadian berbalas tembakan dan suspek berusia 51 tahun maut di lokasi tersebut.
“Semakan mendapati lelaki itu mempunyai enam rekod jenayah dan pernah dikenakan perintah tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA),” katanya.
Shuhaily berkata, di lokasi kedua pada pukul 12.05 tengah malam tadi, anggota polis menyerbu sebuah premis di Taman Emas, Skudai.
Pasukan serbuan kemudian mengenalkan diri sebelum kedengaran bunyi tembakan dari arah beberapa bilik di dalam rumah tersebut.
“Bagi mempertahankan diri, anggota melepaskan tembakan ke arah suspek dan tiga daripadanya mengenai suspek dan disahkan mati di lokasi tersebut. Turut ditemukan dua pucuk pistol dan sebilah parang panjang.
“Semakan mendapati, dua daripada tiga suspek yang berusia 35 hingga 39 tahun yang maut mempunyai rekod jenayah,” katanya.
Tambah beliau, empat serbuan dijalankan membawa kepada tangkapan empat suspek lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 25 hingga 43 tahun. Polis merampas tiga pucuk revolver dan sebilah parang panjang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE