KAJANG – Dua anggota yang ditahan berhubung kes pemerasan wang di Balakong di sini baru-baru ini bakal berdepan tindakan digantung tugas.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, perintah gantung tugas terhadap anggota berpangkat koperal dan konstabel itu merupakan tindakan awal pihaknya sebaik mereka didakwa di mahkamah hari ini.
“Mengenai aspek tatatertib, siasatan sudah dimulakan sejurus menerima laporan. Tindakan sewajarnya akan diambil selepas siasatan tatatertib selesai,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan dua anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang ditahan susulan video tular memaparkan kejadian pemerasan terhadap warga asing.
Susulan kejadian itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan. Dua penjawat awam tersebut kemudian dituduh di Mahkamah Kajang di sini pagi ini.-KOSMO! ONLINE.