CUACA panas di kota Paris ketika ini bakal menjadi cabaran kepada pelari pecut seluruh dunia termasuk bintang muda negara, Muhammad Azeem Fahmi ketika turun membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik Paris 2024.
Pelari berusia 20 tahun itu mengakui cuaca panas terik di Stade de France tidak menjadi masalah buatnya ketika beraksi di pusingan kelayakan acara 100 meter (m) yang dijadualkan berlangsung pada pukul 5.55 petang esok.
Katanya, semua persiapan berjalan lancar menjelang hari penting nanti untuk menyesuaikan diri dengan keadaan trek berwarna ungu yang julung kali digunakan di pentas Olimpik.
“Syukur Alhamdulilah segalanya berjalan dengan lancar di sini dan saya tidak ada masalah untuk sesuaikan diri dengan cuaca walaupun sebenarnya semalam agak panas luar biasa daripada apa yang kita rasa di Malaysia.
“Apapun, suasana di sini amat berbeza dan ini pertama kali saya bertanding di Olimpik. Saya rasa dapat bersama dengan atlet berkelas dunia membantu beri saya inspirasi dan teruja untuk berlawan dengan mereka biar di peringkat mana sekali pun.
“Selagi saya ada peluang untuk bersaing dengan mereka dan ia adalah peluang baik untuk saya merasai pengalaman-pengalaman seperti itu,” katanya kepada Astro Arena semalam.
Di Paris nanti, Azeem meletakkan harapan cukup tinggi untuk memberikan larian terbaik agar mampu mengulangi pencapaian terbaiknya ketika merekodkan rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s).