PETALING JAYA – Cuaca pagi pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri esok, diramal cerah tanpa hujan.
Menurut paparan di laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebentar tadi memaklumkan, kawasan DUN Nenggiri dijangka cerah pada sebelah pagi dan hujan lebat menjelang petang esok.
Selain itu, suhu pada hari penamaan calon di kawasan tersebut diramal sekitar 25 hingga 33 darjah Celsius.
Sehubungan itu, ia memberi keselesaan kepada calon dan penyokong yang hadir ke pusat penamaan, berlangsung di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang, Kelantan.
Dalam pada itu, setiap bakal calon diberi tempoh sejam bermula 9 hingga 10 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan sebelum senarai mereka yang layak bertanding diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya bertugas.
Dalam pada itu, sebaik proses pencalonan selesai, calon yang layak bertanding mempunyai 14 hari tempoh berkempen bagi meraih undi di kawasan DUN terbabit.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos depan, manakala hari mengundi awal yang pada mulanya ditetapkan pada 13 Ogos tidak akan diadakan selepas kesemua 14 pengundi yang terlibat memilih mengundi secara pos, susulan mereka perlu bertugas sepanjang tempoh kempen PRK. – KOSMO! ONLINE