fbpx

Anwar bertemu Putin bincang kerjasama ekonomi dalam masa terdekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar berucap pada Majlis Perasmian Ibu Pejabat GXBank dan Pusat Kecemerlangan Perkhidmatan Perkongsian Serantau, di Bandar Utama, Petaling Jaya hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO!

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari Russia, Presiden Vladimir Putin di Vladivostok dalam beberapa minggu lagi.

Menurut Anwar, pertemuan itu adalah atas undangan Putin bagi membincangkan soal kerjasama ekonomi antara kedua negara.

Katanya, kerajaan mengambil pendekatan lebih terbuka dalam ekonomi dengan mengamalkan dasar terbuka dengan semua negara.

“Apa saja yang boleh selamatkan bangsa dan negara, memacu pertumbuhan dengan segar, apa saja kerangka yang memungkinkan kita berdagang dengan semua negara, dan pertahankan keamanan dan kepentingan ekonomi negara, kita akan terbuka.

“Kita mengambil sikap cukup terbuka untuk bersahabat dengan semua, berdagang dengan semua asalkan kita kekal sebagai negara yang bebas merdeka dan berdaulat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ibu Pejabat GXBank dan Pusat Kecemerlangan Perkhidmatan Perkongsian Serantau, di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai keadaan di Gaza, Anwar menegaskan bahawa Malaysia tetap bersuara secara lantang menolak kezaliman kerana prinsip kemanusiaan.

“(Ini) meletakkan kita sebagai antara negara yang pertahankan pendirian kita yang bebas, dan tidak mengambil sikap untuk bermusuh dengan sesiapa.

“Prinsip kita adalah jelas, tetap pertahankan kebebasan, tolak kezaliman, tidak mengizinkan mana-mana negara kelompok menindas, menghina dan membunuh rakyat kita yang tidak berdosa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI