fbpx

2,750 minyak masak peket seleweng dirampas, pemilik premis ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KPDN Johor menggagalkan aktiviti penyelewengan minyak masak peket apabila menyerbu sebuah premis di Jalan Sri Purnama, Pandan, Johor Bahru malam semalam.

JOHOR BAHRU – Tindakan seorang pemilik premis perniagaan di Jalan Sri Purnama, Pandan, di sini yang menyeleweng minyak masak peket terbongkar apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menyerbu premis berkenaan, malam semalam.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, serbuan yang dijalankan pada pukul 10 malam itu berjaya menemukan 2,150 minyak masak peket yang telah dipotong dan 600 yang masih belum dipotong.

Katanya, minyak masak subsidi yang telah dipotong itu kemudiannya disimpan dalam tiga buah tangki IBC.

“KPDN Johor melakukan serbuan berkenaan setelah menerima maklumat daripada Pasukan Polis Marin berkaitan aktiviti penyelewengan minyak masak peket di lokasi berkenaan.

“Selain daripada rampasan melibatkan minyak masak, tiga tangki IBC dan sebuah lori bernilai keseluruhan RM21,750 itu, anggota turut menahan pemilik premis yang berusia 30-an,” katanya kepada pemberita.

Tambah Lilis, kes tersebut akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

“Kita juga akan menyiasat bagi mengenalpasti individu atau syarikat yang terlibat dalam rantaian pengedaran minyak masak peket termasuklah sumber minyak masak peket itu diperoleh.

“KPDN Johor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam usaha membanteras sindiket penyelewengan subsidi barang kawalan demi kepentingan rakyat,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI