LAHAD DATU – Seorang wanita hamil lapan bulan ditemui maut selepas terjun dari tingkat tiga Hospital Lahad Datu semalam.
Dalam kejadian sekitar 7.30 malam itu, mangsa yang mengandung 33 minggu dihantar untuk mendapatkan rawatan di Kecemasan Hospital Lahad Datu oleh keluarganya ap[abila bertindak agresif.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, siasatan awal mendapati mangsa kemudiannya dimasukan ke wad bagi rawatan dan pemantauan lanjut.
“Bagaimanapun, sewaktu berada di wad semalam, wanita berkenaan dikatakan cuba terjun dari tingkap wad di tingkat tiga tetapi dihalang oleh jururawat bertugas.
“Mangsa seterusnya diberi rawatan dengan tangan diikat ekoran mangsa bertindak agresif.
“Kira-kira pukul 6.30 petang semalam, ikatan pada tangan mangsa dibuka selepas mangsa diberi ubat penenang dan tidak menunjukkan tanda-tanda agresif.
“Namun jururawat bertugas pada 7.20 malam hari yang sama mendapati mangsa tiada di katil lalu membuat pemeriksaan sebelum menemui mangsa terbaring di atas rumput tingkat bawah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dzulbaharin memaklumkan mangsa kemudian melalui pembedahan untuk menyelamatkan bayi di dalam kandungan, kedua-duanya disahkan meninggal dunia.
“Siasatan awal mendapati tiada unsur-unsur jenayah ditemui ke atas kematian mangsa. Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat,” ujarnya, – KOSMO! ONLINE