fbpx

[VIDEO] Sindiket guna jata negara, KPM, KPT jual sijil akademik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zambry.

PETALING JAYA – Antara modus operandi sindiket yang menjual sijil akademik secara dalam talian adalah dengan menggunakan jata negara serta jata Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi mengaburi mata pelanggan serta pihak terlibat.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, tindakan tersebut sekali gus mendedahkan kepada penipuan dalam mendapatkan peluang menyambung pelajaran atau pekerjaan serta memberi impak kepada nama baik sesebuah institusi pendidikan.

“Bagi mereka yang kurang arif, mereka akan mudah tertipu dan bukan itu sahaja bagi mereka yang cuba mengambil jalan mudah untuk mendapatkan sijil atau diploma atau ijazah dengan cara ini, ia akan merosakkan imej universiti dan institusi yang terlibat,” katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik hari ini.

Dalam pada itu, Zambry berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana institusi pendidikan tinggi awam atau swasta (IPTA/ IPTS) mahupun individu terlibat dalam penjualan sijil akademik di peringkat sekolah mahupun hingga pengajian tinggi.

Jelasnya, KPT akan memastikan tindakan segera dan tegas dilakukan agar dapat membendung kegiatan haram tersebut.

“Saya juga telah mengarahkan agar tindakan laporan polis juga perlu dilakukan. Saya percaya dalam konteks ini pihak KPM juga akan melakukan perkara sama kerana ia berkaitan dengan sijil (sijil akademik).

“Dalam masa sama saya ingin mengingatkan mana-mana institusi termasuklah IPTS supaya kita tidak membenarkan kegiatan seumpama ini berlaku dan jangan membiarkan kumpulan ini mengambil kesempatan untuk melakukan kegiatan mereka (sindiket penjualan sijil akademik),” tegasnya.

Terdahulu, menerusi laporan khas bersiri Kosmo! mendedahkan terdapat sindiket penjualan sijil akademik palsu yang mempromosikan kegiatan mereka di Facebook dan Instagram dengan tawaran harga serendah RM1,500 hingga RM4,000.

Antara pelanggan kepada sindiket ini adalah mereka yang terdesak dalam mendapatkan pekerjaan dan memerlukan keputusan akademik cemerlang bagi mengaburi mata pihak majikan.

Kosmo! juga mendedahkan terdapat golongan pekerja yang melakukan penipuan menggunakan sijil ijazah palsu tersebut bagi tujuan kenaikan pangkat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI