PETALING JAYA – Tular di media sosial video memaparkan pemandu kereta jenis Honda CRV memandu laju dan melulu serta menyeret sebuah motosikal dalam satu kejadian di simpang Taman Velox, Rawang malam tadi.
Menerusi video berdurasi 18 saat yang dimuat naik pengguna Han Amin, kelihatan kenderaan itu memecut laju kira-kira sejauh 500 meter walaupun tayar di sebelah kanannya sudah tercabut.
Meskipun beberapa kenderaan lain cuba untuk memberhentikan Honda CRV tersebut, namun pemandu itu tidak berhenti malah selamba menyeret motosikal itu sehingga terkeluar percikan api.
“Kejadian ngeri malam tadi. Simpan Taman Velox, Rawang. Allahuakbar. Pemandu difahamkan mabuk, rempuh penunggang motosikal.
“Nasib baik budak motosikal itu sempat terjun. Kalau tengok, tayar pun dah tak ada kereta tu,” tulis pemuat naik video itu.
Difahamkan, pemilik motosikal itu yang merupakan penghantar barangan terselamat kerana sempat terjun ke atas jalan raya.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan tindakan segera sekiranya benar pemandu tersebut berada dalam khayal.
“Allahuakbar sebaik pemilik motosikal tu sempat terjun. Kalau tak, tak tahulah apa jadi,” kata Norhanim.
“Harap pihak berkuasa bertindak segera jika benar mabuk. Membahayakan pengguna jalan raya yang lain,” kata Hanif pula. – KOSMO! ONLINE