HANOI – Seorang wanita di Vietnam menjadi perhatian pengguna media sosial kerana mengaku kekal berjaga tanpa tidur selama tiga dekad, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Nguyen Ngoc My Kim, 49, berkata, dia tidak dilahirkan secara semula jadi dengan keadaan itu, sebaliknya kebolehan tersebut dilatih sejak dari kecil.
Pada mulanya, Kim tidak tidur kerana dia suka membaca sehingga lewat malam. Kemudian apabila dia mula bekerja sebagai tukang jahit, dia bekerja hingga dini hari untuk menyiapkan tempahan.
Sehinggakan pada satu ketika, Kim berasa dia tidak perlu tidur sama sekali, menyebabkan dia mula menjalani kehidupan seperti itu.
“Setiap malam begitu, saya duduk di hadapan mesin jahit dan tidak berani tidur kerana bimbang tidak dapat menyiapkan tempahan.
“Pada awalnya, saya bukan sahaja tertidur dan melakukan banyak kesilapan semasa menjahit, malah saya berasa letih dan pening serta mengalami beberapa kemalangan jalan raya.
“Namun, selepas berjaga berbulan-bulan, kemudian bertahun-tahun, mata dan badan saya sudah terbiasa dengan kurang tidur. Sejak itu, saya tidak boleh tidur walaupun saya mahu,” tambah Kim.
Berita mengenai keadaan Kim menjadi tular di media sosial Vietnam, menyebabkan dia menerima ramai tetamu yang datang dari seluruh negara untuk bertemu dengannya dan melihat keadaan itu sendiri. – AGENSI