LIPIS – Biarpun menerima tawaran melanjutkan pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA), seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan keputusan 7A terpaksa menguburkan impian lantaran kesempitan hidup yang dihadapinya.
Wan Nur Salwany Wan Mohd. Noor, 18, berkata, dia menolak tawaran itu kerana bimbang tidak mampu membiayai kos sara hidup dan perbelanjaan sepanjang pengajian.
“Saya datang daripada keluarga B40. Jadi dari awal emak dan ayah sudah menyatakan mereka tidak mampu membiayai kos ke IPTA termasuk yuran pengajian, perbelanjaan, penginapan dan pelbagai kos lain.
“Justeru hasrat saya untuk ke menara gading terpaksa dilupakan selain perlu meneruskan pelajaran ke tingkatan enam untuk tidak menyusahkan mereka,” katanya di rumah keluarganya di Kampung Sungai Lik, Mukim Cheka di sini semalam.
Wan Nur Salwany yang juga anak kedua daripada tiga beradik berkata, dia bercita-cita untuk bergelar seorang pendidik dan berharap dapat menyambung pengajian dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.
“Saya berharap agar impian untuk menjadi seorang guru akan tercapai, sekali gus mampu mengubah nasib keluarga ke arah yang lebih baik,” ujarnya.
Bapanya, Wan Mohd. Noor Wan Ya, 56, berkata, dia bersama isteri, Wan Saidah Ismail, 44, hanya bekerja sebagai penoreh getah di kebun milik penduduk kampung dengan pendapatan kira-kira RM900 sebulan.
Menurutnya, dia juga perlu menyara ibunya, Zahrah Ismail, 89, yang terlantar akibat sakit tua dan memerlukan penjagaan rapi.
“Sepanjang bersekolah Wany (panggilan untuk Wan Nur Salwany) sering mendapat anugerah pelajar cemerlang dan saya pun sudah jangka dia akan peroleh keputusan baik dalam SPM.
“Saya juga berterus terang kepadanya yang saya tidak mampu membiayai segala yuran andai dia berjaya menempatkan diri ke IPTA sebab kesusahan hidup kami sekeluarga,” ujarnya.
Tambahnya, dia bersyukur kerana anaknya itu tidak pernah memberontak atau marah kerana memahami keadaan ekonomi diri dan keluarga.
“Kehidupan saya sekeluarga ibarat kais pagi makan pagi, kalau dapat makan lauk ayam seminggu sekali pun kami sekeluarga sudah bersyukur.
“Tetapi biasanya kami anak-beranak hanya makan pucuk paku atau nangka sebab itu sahaja yang mudah diperoleh,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Wan Mohd. Noor di talian 019-7981729 atau menyumbang menerusi akaun Agrobank 2006111000219509 atas namanya.