KOTA MARUDU – Tiga rentung termasuk dua beranak dalam kebakaran rumah di Kampung Blok 5, hadapan sebuah pasar raya, Pitas awal pagi tadi.
Mangsa yang rentung dikenali sebagai Abdul Malik Mad Tasin, 50-an, anak perempuannya Nur Adriana Qistina Abdul Malik, 11, dan seorang lagi mangsa Salleh Onding. Tiga lagi mangsa dilaporkan cedera, termasuk dua anak kepada Abdul Malik.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.19 pagi.
“Sejurus tiba, anggota bomba bertugas mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal yang terbakar sepenuhnya.Turut terbakar dua kenderaan jenis Perodua Kembara dan Proton Waja,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Riki Mohan berkata, terdapat tiga mangsa ditemukan rentung iaitu dua lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.
“Mangsa pertama, Nurul Adriana ditemui di ruang tamu bapanya, Abdul Malik ditemui di bahagian dapur manakala mangsa ketiga (Salleh) ditemui di kamar mandi. Tiga lagi mangsa perempuan mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Pitas oleh orang awam,” katanya.-KOSMO! ONLINE