GANJARAN lumayan menanti atlet-atlet Terengganu sekiranya kontinjen negeri itu bergelar juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak berlangsung pada 17 sehingga 24 Ogos ini.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, imbuhan yang bakal ditawarkan kepada pemenang pingat emas, perak dan gangsa Sukma kali ini lebih tinggi berbanding kebiasaan.
“Lazimnya saya akan terus umumkan berapa (insentif) kepada atlet yang menang pingat emas, perak dan gangsa cuma hari ini (semalam) sedikit berbeza. Ganjarannya ada tetapi saya belum mahu beritahu jumlahnya.
“Saya akan turun sendiri ke Sarawak untuk melihat kesungguhan atlet Terengganu bertanding dan jika jadi juara keseluruhan, insya-Allah ganjaran lebih baik berbanding edisi terdahulu,” katanya di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.
Terdahulu, beliau menyerahkan bendera kontinjen Sukma Terengganu kepada ketua kontinjen, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.
Sebelum ini, kerajaan negeri telah menghadiahkan imbuhan keseluruhan RM1.5 juta kepada kontinjen Terengganu sewaktu muncul naib juara keseluruhan Sukma dengan pungutan 64 pingat emas, 49 perak dan 55 gangsa pada edisi 2022.
Pemenang pingat emas di Sukma Kuala Lumpur dua tahun lalu menerima ganjaran RM3,500, manakala RM2,500 dan RM1,500 masing-masing kepada pemenang pingat perak dan gangsa.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, kontinjen Terengganu menyasar merampas kejuaraan Sukma 2024 dengan sasaran 76 pingat emas, 36 perak dan 106 gangsa yang akan digalas 568 atlet bertanding.
“Saya merasakan kontinjen Sarawak dan Johor akan menjadi pencabar utama dalam misi Terengganu merampas kembali kejuaraan Sukma kali ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE