JAKARTA – Taman asuhan kanak-kanak (taska) di Depok, wilayah Jawa Barat yang didakwa terbabit dengan kes penderaan dua budak didapati tidak mempunyai lesen untuk beroperasi, lapor program berita Liputan6 semalam.
Pejabat Pendidikan Kota Depok membuat tindakan susulan terhadap dakwaan penderaan kanak-kanak di taska yang terletak dalam Sekolah Wensen, Cimanggis.
Berdasarkan pemeriksaan, Setiausaha Pejabat Pendidikan Kota Depok, Sutarno berkata, Sekolah Wensen tidak mempunyai kebenaran untuk menyediakan perkhidmatan taska.
Sekolah Wensen merupakan sebuah sekolah pendidikan awal kanak-kanak (PAUD). Namun, ia tidak mempunyai lesen untuk menyediakan perkhidmatan taska.
Menurut Sutarno, pihaknya sudah melihat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berhubung dakwaan berlakunya penderaan dua kanak-kanak di premis tersebut.
“Ada keganasan terhadap dua kanak-kanak yang dilakukan oleh seorang wanita. Identiti pelaku belum diketahui lagi, tetapi yang saya tahu pemilik PAUD ialah (Puan) Meita,” katanya.
Tambah Sutarno, sekiranya terbukti berlakunya penderaan seperti yang didakwa, Pejabat Pendidikan Kota Depok akan membatalkan lesen operasi Sekolah Wensen.
Sementara itu, saluran berita CNN Indonesia melaporkan, polis telah menahan pemilik Sekolah Wensen semalam bagi membantu siasatan kes tersebut.
Sebelum itu, ibu kepada salah seorang kanak-kanak berusia dua tahun mendakwa bahawa anaknya ditendang dan dipukul di taska sekolah berkenaan.
Wanita yang hanya dikenali sebagai RD itu mendapat tahu bahawa anaknya menjadi mangsa selepas dimaklumkan seorang guru.
“Selepas memeriksa rakaman CCTV, memang ada bukti (kejadian dera). Pada 10 Jun 2024, anak saya dikasari dengan dipukul di beberapa bahagian badan.
“Perutnya ditendang sehinggakan dia jatuh tersungkur,” ujar RD. – AGENSI