KLANG – Taktik menyeludup 600 biji pil kuda dalam lipatan seluar jeans terpakai wanita menggunakan parcel kurier barangan berjaya dibongkar dalam kejadian di Pusat Mel dan Kurier (PMK) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.
Dadah seberat 120 gram bernilai RM6,000 dipercayai ‘dieksport’ dari negeri pantai timur tersebut dirampas pada 16 Julai lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah JKDM, Norlela Ismail, Norlela Ismail berkata, hasil pemeriksaan mendapati parcel dadah tersebut dialamatkan ke sebuah negara di Asia Selatan.
Katanya, pengirimnya adalah individu dengan beralamat di negeri pantai timur.
“Kesemua biji pil kuda itu dalam tiga peket plastik lut sinar diletakkan didalam bungkusan sampul aluminium.
“Penyeludup kemudiannya menyoroknya dalam lipatan sehelai seluar jeans bundle bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Beliau menambah, parcel yang dikirim kemudian akan dihantar di PMK yang merupakan hab pengumpulan semua parcel sebelum dihantar ke destinasi sama ada dalam atau luar negara.
Tegas Norlela, penyeludup dadah itu telah mengikrarkan bungkusan tersebut sebagai pakaian.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE