fbpx

Selesai PhD pada usia 82, Ummi belajar untuk saham akhirat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ummi (tudung coklat) ketika berjaya memperoleh kejayaan dalam peperiksaan lisan PhD Islamiyyat, Universiti Islam Selangor pada 29 Julai lepas.

PETALING JAYA – Usia bukanlah penghalang kepada Ustazah Siti Zaharah Hamid apabila berjaya memperoleh kejayaan dalam peperiksaan lisan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Islamiyyat, Universiti Islam Selangor pada usia 82 tahun.

Kisah kejayaan anak kelahiran Seberang Perai, Pulau Pinang itu bukan sahaja tular di media sosial malah memberi inspirasi buat golongan muda untuk menyambung pelajaran tanpa mengira usia.

Kisah Siti Zaharah ataupun mesra disapa Ummi bermula apabila minatnya untuk menuntut ilmu secara mendalam membuatkan beliau tekad berhijrah ke Kuala Lumpur seawal usia 11 tahun.

Biarpun ketika baru berusia 16 tahun, Siti Zaharah yang merupakan anak ketiga daripada 12 beradik itu sudah mula menjadi tenaga pengajar di beberapa sekolah agama di sekitar Kuala Lumpur sebelum menyambung pelajaran secara pra-kuliah.

“Latar belakang Ummi dari kecil memang dah merantau. Lain dengan adik-beradik lain. Sebab Ummi rasa seronok dan teringin sangat nak sambung belajar.

“Ketika beritahu mak ayah nak merantau, mereka benarkan sahaja sebab ada kakak sepupu di Kuala Lumpur. Ummi bujang sehingga sekarang, jadi rasa nak belajar tu sentiasa ada.

“Masa sambung PhD ini pun, Ummi paling berusia antara yang lain. Walaupun kecergasan tak sama macam orang muda, tapi sebab kehendak nak belajar tu tak terbatas, maka dapat juga Ummi habiskan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Bercerita lanjut mengenai perjalanan hidupnya, selepas selesai pra-kuliah, Siti Zaharah mengambung Ijazah Sarjana di Universiti Al-Azhar sebelum pulang ke Malaysia pada 1995.

“Selepas itu, Ummi mengajar di Kolej Islam Selangor Darul Ehsan (KISDAR) sebelum bertukar mengajar di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

“Pada 2013, diperkenalkan Skim Islamiyyat dimana Ummi boleh mengajar sambil sambung belajar. Sampailah kontrak mengajar Umi tamat pada 2018.

“Setelah itu, Ummi hanya belajar sendiri sebab tu ambil waktu sedikit untuk habiskan PhD. Namun dengan bimbingan ‘supervisor’ dan kawan-kawan, alhamdulillah tamat juga tahun ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ummi berkata, tiada petua lain yang diamalkannya untuk menguatkan ingatan bagi penghafalan selain mewajibkan bacaan al-Quran sebagai seorang rutin harian.

Katanya, jika dirinya sudah berhenti mengkaji al-Quran atau tidak berinteraksi dengan orang lain sejak awal lagi, kemungkinan sudah nyanyuk pada usia lanjut sebegini.

Siti Zaharah, yang bakal menyambut ulang kelahiran ke-82 pada 27 Ogos ini berkata, seseorang perlu berniat untuk belajar kerana Allah SWT.

“Belajar ini adalah tuntutan fardhu. Macam Ummi, tak ada harta lain-lain dah. Cuma ilmu ini sebagai bekalan nak bawa jumpa Allah. Jangan belajar sebab nak kejar KPI (petunjuk prestasi utama).

“Pada Ummi, tiada yang memotivasikan Umi selain Allah. Buat golongan muda di luar sana, perlu tahu matlamat kita belajar untuk apa. Ilmu ini kita belajar dan beramal untuk menjadi bekalan di akhirat nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI