fbpx

Rugi RM2 juta, Jamal Abdullah bakal saman syarikat pelaburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Berasa ditipu, penyanyi Datuk Jamal Abdillah, nekad mengambil tindakan undang-undang ke atas syarikat pelaburan yang didakwa gagal membayar dividen dan memulangkan semula wang pelaburan kepadanya.

Ujar Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Mohd Ali, 65, peguam yang mewakilinya sudah pun menyerahkan segala dokumen berkaitan kepada pihak timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

“Demi keselamatan, saya pasang peguam untuk saman mereka. Bukan saya sahaja terkena, ramai juga pihak lain terlibat.

“Sebenarnya kes itu saya tak boleh hurai banyak-banyak. Saya cuma boleh kata saya ada buat pelaburan, tapi sebelum itu saya sudah periksa di Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara. Memang wujud syarikat itu.

“Sekarang ini saya sudah lantik peguam yang sudah membuat siasatan dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, segala bukti telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media pelancaran album kumpulan Cherry On Top berjudul Ketagih, di sini, hari ini.

Kongsi pelantun lagu Azura itu, dia pada awalnya melabur sebanyak RM1 juta dan menerima pulangan.

Pun begitu, selepas melaburkan RM1 juta lagi, dia tidak lagi menerima pulangan seperti dijanjikan.

“Awalnya saya melabur RM1 juta terlebih dahulu dan mendapat pulangan sebanyak 12 peratus setahun. Selepas itu saya masuk lagi RM1 juta jadi RM2 juta.

“Tempoh matang lima tahun tetapi malangnya tahun ketiga itu dia (syarikat) itu sudah tidak bagi, pelbagai alasan diberikan termasuk tidak dapat kerana PKP.

“Bukan saya sahaja terkena, ramai juga pihak lain terlibat. Ini bukan ‘scam’ sebab syarikat itu memang wujud dan masih berjalan. Zaman sekarang ini mahu buat apa-apa kena berhati-hati,” dedahnya.

Terdahulu, pada awal 2018, Jamal diperkenalkan oleh seorang ejen kepada satu skim pelaburan dan dijanjikan pulangan 12 peratus setahun.

Antara 2018 sehingga 2020, Jamal membuat empat kali pelaburan dengan melaburkan sejumlah RM2 juta dalam syarikat berkenaan.

Namun, katanya, sehingga hari ini, syarikat pelaburan berkenaan gagal membuat pembayaran dividen bagi pendapatan tahunan secara menyeluruh dan secara langsung sudah melanggar perjanjian dengan terma yang sudah dipersetujui.

Jamal menerima satu memo bertarikh 4 Januari 2023 yang dikeluarkan syarikat pelaburan terbabit menyatakan sudah tiada keupayaan membayar pulangan sasaran tahunan pelaburan kerana keuntungan syarikat terjejas disebabkan penularan Covid-19. — KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI