fbpx

Politeknik Ungku Omar catat jumlah pelajar baharu tertinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Politeknik Ungku Omar mencatatkan jumlah pelajar baharu bidang TVET bagi ambilan sesi 1 Tahun 2024/2025.

PETALING JAYA – Politeknik Ungku Omar (PUO) berjaya mencatatkan jumlah pelajar bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tertinggi di antara semua institusi tersebut serta kolej komuniti seluruh Malaysia bagi ambilan sesi 1 Tahun 2024/2025.

PUO dalam kenyataannya berkata, jumlah keseluruhan pelajar baharu adalah sebanyak 1,765 sekaligus melebihi sasaran yang ditetapkan.

Ujarnya, daripada jumlah tersebut, 1,629 merupakan pelajar daripada 17 program diploma, 123 pelajar Program Asasi Teknologi Kejuruteraan, dan 13 orang pelajar Program Sijil Kemahiran Pembinaan yang dikhususkan untuk pelajar kelainan upaya.

Pengarahnya, Dr. Shamsuri Abdullah berkata, pencapaian ini mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap persekitaran pembelajaran kondusif dan kualiti Pendidikan serta TVET yang ditawarkan PUO.

“Peningkatan jumlah ini juga dibantu oleh usaha mempromosi keterlihatan institusi secara berterusan melalui pelbagai platform sama ada secara bersemuka, media konvensional atau secara digital,” katanya.

Majlis penutup Minggu Suai Kenal pelajar baharu diadakan hari ini di Dewan Jubli Perak, PUO dan dihadiri Timbalan Pengarahnya (Akademik), Norman Zamri, yang mewakili Pengarah.

Dalam pada itu, para pelajar disaran memanfaatkan ruang dan peluang pembelajaran di PUO bagi meneroka potensi dan kebolehan diri.

“PUO mengucapkan selamat datang kepada semua pelajar baharu dan berharap agar para pelajar menggunakan peluang ini untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam segala aspek,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI