fbpx

Peruntukan RM2.5 juta untuk OT anggota JPJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTHONY LOKE menurunkan tanda tangan pada plak perasmian Bangunan Baharu JPJ Cawangan Muar hari ini.

MUAR – Kementerian Pengangkutan bersedia memberi peruntukan sebanyak RM2.5 juta untuk elaun kerja tambahan masa kepada lebih 2,000 anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seluruh negara tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, elaun khas berkenaan akan diberikan kepada anggota yang bertugas ketika di luar waktu kerja mereka termasuk dalam operasi bersepadu dengan agensi kerajaan yang lain.

Katanya, setelah penelitian daripada pihak kementerian elaun kerja tambahan masa ini akan dibayar dalam masa terdekat ini, bertujuan memberikan kelancaran kepada setiap operasi yang dijalankan.

“Ini adalah kepada anggota penguatkuasa..kadang kala operasi penguatkuasaan ini diadakan di luar waktu pejabat, ada tambahan masa, ada waktu larut malam, kita minta mereka berkorban masa dan sebagai pekerja mereka layak untuk dapat elaun tambahan ini.

“Jadi ini akan kita tambah baik, kita lihat pada faktor kebajikan anggota-anggota supaya apa sahaja operasi yang dirancang tidak terjejas,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Bangunan Baharu JPJ Cawangan Muar, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Aedy Fadhly Ramli.

Sementara itu, berkenaan bangunan baharu JPJ Cawangan Muar, ia sebelum ini termasuk dalam salah satu ‘projek sakit’ yang berjaya disiapkan dan mula beroperasi pada September 2023, setelah terlibat dalam insiden kebakaran pada November 2009.

Katanya, dengan siapnya bangunan yang bernilai RM19 juta tersebut ia memberikan manfaat kepada pelanggan dengan anggaran sebanyak 850 orang setiap hari atau sekitar 80,000 orang untuk jangka masa setahun.

“Bangunan yang terletak di tanah berkeluasan 3.02 ekar itu bukan sahaja memberikan manfaat kepada pelanggan bukan sahaja untuk daerah Muar, tetapi di daerah sekitarnya seperti Batu Pahat dan juga Tangkak.

“Untuk makluman pencapaian pencapaian hasil JPJ Cawangan Muar pada tahun 2023 adalah sebanyak RM51 juta, antara penyumbang tertinggi kutipan hasil tahunan JPJ di negara ini,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI