KUALA LUMPUR – Kerajaan menerima sejumlah 57,752 permohonan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bernilai RM12.77 bilion diluluskan setakat Jun tahun ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, permohonan berkenaan meningkat drastik berbanding 23,569 permohonan bernilai RM5.9 bilion, pada tahun sebelumnya.
Katanya, SJKP turut memberi jaminan sehingga 120 peratus kepada harga rumah sekali gus menyelesaikan isu pembayaran deposit.
“Tahun lepas kerajaan melancarkan inisiatif baharu Skim Jaminan Kredit Perumahan. Sekarang boleh jamin sehingga 120 peratus harga rumah.
“Oleh kerana itu, isu pembayaran deposit dapat diselesaikan, kerana jaminan kerajaan terhadap pemilikan rumah pertama melebihi harga rumah, ia merangkumi aspek termasuk renovation pun dibenarkan. Oleh kerana itu, tahun lepas jumlah kes kelulusan meningkat secara mendadak,” katanya di Dewan Negara.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Mohd Hasbie Muda yang ingin tahu mengenai jumlah permohonan SJKP sehingga kini.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, tempoh pinjaman 34 tahun merupakan dasar had maksimum yang ditetapkan Bank Negara.
Peminjam boleh menyelesaikan pinjaman lebih awal agar tidak membebankan generasi kedua. – KOSMO! ONLINE.