IPOH – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 5 September depan sebagai tarikh pendengaran permohonan jaminan terhadap Deputi Superintenden, Mohd. Nazri Abdul Razak, 45, yang didakwa atas pertuduhan membunuh pelajar lelaki tingkatan lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17. Disember tahun lalu.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan memerlukan masa untuk meneliti hujahan daripada pasukan peguam bela.
Sehubungan itu, mereka memohon mahkamah menetapkan satu tarikh baharu bagi pendengaran permohonan berkenaan.
Terdahulu, mahkamah diberitahu bahawa pihak pendakwaan dan pembelaan telah memfailkan penghujahan bertulis masing-masing pada Rabu seperti diarahkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE