JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan perbuatan sepasang kekasih yang leka ‘memadu cinta’ di tepi landasan kereta api tanpa memikirkan risiko keselamatan, lapor laman berita Detik semalam.
Kejadian berlaku di Purwakarta, wilayah Jawa Barat, di atas jambatan kereta api Cisomang.
Berdasarkan video tersebut, pasangan itu duduk di tepi landasan ketika sebuah kereta api dilihat meluru laju dari jauh ke arah mereka.
Pemandu kereta api membunyikan hon yang kuat dan berkali-kali agar kedua-dua individu tersebut berjaga-jaga dan berlalu dari lokasi di mana mereka berada.
Menurut maklumat, kejadian itu melibatkan perkhidmatan kereta api laluan Serayu Purwokerto-Kiaracondong-Pasar Senen.
Pengurus Perhubungan Awam Daop 2 Bandung, Ayep Hanapi tampil mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan aktiviti yang boleh mendatangkan bahaya di sekitar laluan kereta api.
“Aktiviti seperti ini bukan sahaja berbahaya tetapi berpotensi melanggar undang-undang.
“Larangan ini diingatkan sekali lagi kerana masih ramai menjadi mangsa akibat aktiviti di sepanjang laluan tren.
“Kami melarang sekeras-kerasnya orang ramai berada di laluan kereta api untuk sebarang aktiviti selain untuk tujuan operasi tren,” kata Ayep. – AGENSI