PARIS – Jaguh lawan pedang Mesir, Nada Hafez mengharungi detik paling indah dalam karier apabila mengesahkan sedang ‘berbadan dua’ sepanjang bersaing pada temasya Sukan Olimpik 2024 kali ini.
Atlet kelahiran Kaherah berusia 26 tahun itu berkongsi kenangan manis dengan mendedahkan sedang hamil tujuh bulan, tetapi masih tidak menghalangnya untuk melakar kemenangan.
Nada berjaya menewaskan pemain ranking ke-10 dunia Amerika Syarikat (AS), Elizabeth Tartakovsky, tetapi disingkirkan wakil Korea Selatan, Jeon Ha-young pada pusingan 16 terbaik di Grand Palais.
Nada, 27, beraksi dalam temasya Olimpik ketiga peribadinya tetap berbangga bukan sahaja dengan prestasi, tetapi juga kerana mampu memberi aksi kompetitif semasa mengandung.
“Apa yang anda lihat adalah dua pemain di atas gelanggang, sebenarnya adalah tiga! Selain saya dan pesaing, ada bayi kecil yang masih dalam kandungan.
“Saya menulis hantaran ini untuk mengatakan rasa bangga dengan diri kerana memastikan tempat saya di pusingan 16 akhir. Olimpik kali ini ternyata memberi pengalaman berbeza.
“Tiga kali menyertai Olimpik, tetapi kali ini saya membawa seorang peserta Olimpik kecil dan saya mengucapkan terima kasih kepada suami, Ibrahim Ihab yang memberi kepercayaan buat saya berada ke tahap ini,” katanya. – AGENSI