PARIS – Mungkin tidak ramai yang mengenali Daria Bilodid, namun namanya cukup popular dalam arena sukan tempur dunia, terutamanya bagi acara judo di mana dia merupakan juara dunia sebanyak dua kali.
Siapa sangka di sebalik wajah penuh keayuan, tersimpan perwatakan agresif yang hanya boleh diterjemahkan setiap kali dia melangkah masuk ke dalam gelanggang untuk berdepan setiap pencabarnya.
Atlet Ukraine berusia 23 tahun itu juga memiliki pencapaian cukup baik pada temasya Sukan Olimpik apabila sudah pun meraih pingat gangsa ketika beraksi di Olimpik Tokyo 2020 tiga tahun lalu.
Selain itu, Bilodid juga boleh dianggap antara atlet judo disegani di Eropah memandangkan dia sudah memenangi Kejuaraan Eropah sebanyak tiga kali dengan gelaran pertamanya hadir ketika berusia 16 tahun.
Bagaimanapun, perkara itu tidak mengejutkan memandangkan bapanya, Gennadiy Bilodid merupakan bekas Olimpian selain pernah memenangi kejuaraan Eropah sebanyak dua kali sepanjang kariernya.
Bilodid yang merupakan pemegang tali pinggang hitam tahap satu itu beraksi pada Olimpik keduanya di Paris kali ini dalam acara 57 kilogram (kg) wanita, namun langkahnya terhenti di pusingan 16 terbaik.
Dia ditunjukkan jalan keluar daripada saingan kali ini ketika bertemu atlet Jepun, Haruka Funakubo selepas menerima tiga kali amaran, sekali gus menyebabkan penyertaannya terbatal pada aksi tersebut.
“Segala impian saya musnah dalam beberapa saat sahaja. Saya benar-benar kecewa dan terkejut tetapi kegagalan ini tidak akan menjatuhkan saya, sebaliknya saya berjanji akan bangkit pada masa depan,” katanya. – AGENSI