PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan pelaksanaan pengurangan penggunaan 50 peratus gula dalam minuman bagi semua acara serta mesyuarat dianjurkan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, tindakan itu diambil bagi mengekang serta mengatasi penyakit kencing manis yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat di negara ini.
Katanya, langkah pengurangan itu akan berkuat kuasa hari ini selepas diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Jelasnya, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 yang merekodkan jumlah rakyat Malaysia yang menghidap diabetes mencecah 15.5 peratus.
“Semua minuman akan disediakan secara gula tidak dimasukkan. Jadi kita akan kurangkan penggunaan gula.
“Biar manis di senyuman bukan di minuman. Ini adalah keputusan Jemaah Menteri untuk mewujudkan satu suasana yang lebih sihat,” katanya pada sidang akhbar mingguan, di sini hari ini.
Berdasarkan tinjauan itu, kumpulan rakyat tertinggi yang menghidapi penyakit tidak berjangkit itu adalah berusia 60 tahun ke atas iaitu sebanyak 38 peratus, diikuti 50 hingga 59 tahun sebanyak 28.8 peratus, 40-49 tahun (15.2 peratus), 30-39 tahun (6.5 peratus) dan 18-29 tahun (3.2 peratus). – KOSMO! ONLINE