fbpx

Lesen kawal selia media sosial hanya kepada pengendali platform

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Lesen kawal selia perkhidmatan media sosial dan pesanan internet hanya melibatkan pengendali platform media sosial dan tidak dikenakan terhadap individu serta golongan pempengaruh.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan menerbitkan soalan lazim (FAQ) berkaitan Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bagi memberi penjelasan berhubung lesen berkenaan.

“Proses pelesenan ini akan bermula hari ini bagi platform media sosial. Jadi ada beberapa pihak yang memberi pandangan yang sebenarnya jauh lari daripada realiti proses perlesenan tersebut.

“Saya ingin jelaskan bahawa pelesenan ini hanya terpakai kepada platform-platform media sosial, bukan kepada pengguna ataupun pempengaruh.

“Individu tidak perlu untuk mendapatkan lesen. Ia hanya terpakai kepada platform tersebut perkhidmatan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar mingguan di sini hari ini.

Beliau berkata, di bawah FAQ itu, pelbagai perkara akan dijelaskan, antaranya, adakah ada mana-mana negara lain yang mengamalkan sistem pelesenan seperti ini atau apakah tindakan yang boleh diambil oleh mana-mana pengguna atau platform sekiranya sesuatu arahan atau keputusan yang telah dibuat, ingin mereka rujuk ataupun buat rayuan.

“Ada juga yang bertanya, adakah sekiranya (sebagai contoh) disebabkan Meta menurunkan hantaran daripada akaun rasmi Perdana Menteri, maka kita boleh sewenang-wenangnya menutup Meta?

“Yang akan berlaku daripada hari ini sehingga 31 Disember nanti, pihak MCMC akan mengadakan sesi libat urus bersama dengan semua pemegang taruh termasuk juga platform-platform media sosial dan sistem pesanan internet,” ujarnya.

Jelasnya, ada beberapa tindakan yang akan dikenakan kepada pemegang lesen sekiranya tidak mematuhi syarat lesen itu menjelang 1 Januari 2025 sebagaimana tertakluk di bawah Seksyen 126 Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588).

Fahmi berkata, sekiranya didapati bersalah, penyedia perkhidmatan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 500,000 ataupun lima tahun penjara ataupun kedua-duanya sekalinya.

“Tindakan denda boleh dikenakan sebanyak RM 1,000 untuk setiap hari atau sebahagian daripada hari tersebut selagi mana kesalahan Itu berterusan.

“Jadi ini adalah satu contoh penggunaan Akta Komunikasi dan Multimedia untuk menguruskan sebarang pelanggaran kepada pemegang lesen dan juga kepada mereka yang memberi perkhidmatan tanpa lesen,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI