PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan pihaknya sebelum ini berjaya mengesan beberapa kes penipuan sijil akademik melalui aduan awam.
KPT dalam kenyataan hari ini berkata, ia melibatkan sindiket penipuan yang memperdaya mangsa dengan menggunakan nama institusi pengajian tinggi (IPT) terlibat.
Bagaimanapun, KPT berkata pihaknya akan membuat laporan polis untuk memastikan sindiket penipuan tersebut dapat dikekang.
“Di peringkat kementerian, terdapat pemantauan dan kawal selia yang dijalankan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) melalui pemeriksaan ke atas IPTS selaras dengan Akta Institusi Pendidikan Swasta 1996 (Akta 555) berkaitan pengeluaran sijil palsu.
“Selain itu, KPT mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dilaksanakan untuk memastikan kesahihan sijil akademik bagi tujuan pengesahan oleh orang awam,” katanya.
Dalam pada itu, KPT mengingatkan orang ramai untuk menyemak kelayakan dan maklumat berkenaan penerima Ijazah Kehormat dan Ijazah Kedoktoran di portal GREaT KPT melalui pautan: https://dohe.mohe.gov.my/award/
“Orang ramai juga dinasihati agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan helah sindiket penipuan dan penjualan sijil akademik ini.
“KPT akan terus komited untuk memastikan sistem pendidikan tinggi tidak tercemar dan menyalahi undang-undang,” jelas kenyataan itu.
Terdahulu, menerusi laporan khas bersiri Kosmo! mendedahkan terdapat sindiket penjualan sijil akademik palsu yang mempromosikan kegiatan mereka di Facebook dan Instagram dengan tawaran harga serendah RM1,500 hingga RM4,000.
Ia melibatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diploma, ijazah sarjana muda serta ijazah kedoktoran.
Lebih membimbangkan sindiket tersebut berani menyamar dan berselindung dengan nama tertentu kononnya berada di bawah kendalian Kementerian Pendidikan (KPM) dan juga KPT semata-mata ingin mengaburi orang awam dan pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE