KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya menyelamatkan dan memulihkan sebanyak 704 projek swasta sakit dan terbengkalai setakat Jun tahun ini.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pemulihan tersebut melibatkan 82,101 unit rumah dengan nilai pembangunan kasar berjumlah RM58.9 bilion.
Beliau berkata, langkah proaktif berkenaan dibuat menerusi Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST).
“Ini menunjukan keberkesanan dalam pelaksanaan polisi sedia ada ini dan KPKT akan terus mengambil tindakan penambahbaikan supaya dapat mengurangkan projek-projek yang bermasalah.
“Kementerian juga seterusnya menyasarkan tiada lagi projek perumahan terbengkalai menjelang tahun 2030 nanti,” katanya di Dewan Negara.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Datuk Dr Ahmad Azam Hamzah yang ingin tahu mengenai keberkesanan polisi dan undang-undang kementerian sedia ada menangani projek perumahan terbengkalai.
Katanya, untuk memastikan masalah rumah terbengkalai itu diselesaikan, kementerian juga sedang memperhalusi Akta 118 bertujuan memperkukuh tindakan dan kawalan untuk menangani isu berkenaan. – KOSMO! ONLINE.