fbpx

Ketua Pengarah Jabatan Laut didakwa perdaya bekas bosnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Halim ketika diiringi pegawai SPRM ke Mahkamah Sesyen Shah Alam. FOTO: Saddam Yusoff

SHAH ALAM – Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia (JLM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menipu bekas Ketua Pengarah terdahulu berhubung kebenaran kapal membawa ‘heavy grade oil’ di perairan negara, empat tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Halim Ahmed, 57, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Mohamad Halim didakwa telah menipu bekas Ketua Pengarah JLM, Datuk Baharin Abdul Hamid apabila memperdayakan dengan mengemukakan Surat Kementerian Pengangkutan bertarikh 27 Oktober 2020.

Berdasarkan surat tersebut, Menteri Pengangkutan pada 22 Oktober 2020 telah memutuskan supaya tempoh bagi syarikat-syarikat perkapalan yang telah diberikan pengecualian untuk membawa heavy grade oil di dalam perairan negara ini perlu dikekalkan mengikut tarikh yang telah diluluskan sedangkan tiada kelulusan sedemikian.

Seterusnya, telah menyebabkan Baharin telah mengeluarkan pengecualian kepada syarikat-syarikat perkapalan yang berkenaan.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Ibu Pejabat JLM, Pelabuhan Klang pada 27 Oktober 2020.

Sabit kesalahan, Mohamad Halim boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Feisal Mohd. Azmi dan Muaz Ahmad Khairuddin mencadangkan jaminan antara RM50,000 hingga RM70,000.

Selain itu, syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan dan larangan mengganggu saksi-saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan.

Peguam Farhan Read dan Zalia Eleena Redza mewakili Mohamad Halim membantah jaminan tinggi susulan kes dihadapi anak guamnya tidak melibatkan nilai kerugian.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM20,000 bersama seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan.

“Bagi simpanan pasport pula, tertuduh boleh membuat permohonan pengembalian pasport untuk melakukan perjalanan ke luar negara,” tegasnya.

Sebutan semula kes pada 7 Oktober depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI