fbpx

Kerjasama ICTCC, HDC perkasa industri halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suhaidi (tengah) menunjukkan dokumen kerjasama strategik yang dimeterai bersama Hairol (kiri) dengan Pengarah Eksekutif ICTCC, Fad Izham di Petaling Jaya kelmarin.

PETALING JAYA – International Cultural Trade Collaboration Centre (ICTCC) dan Halal Development Corporation Berhad (HDC) mengumumkan kerjasama strategik bagi memperkasa industri halal negara.

Kerjasama berkenaan melibatkan komitmen ICTCC kepada HDC untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan 300 syarikat ­perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam usaha menembusi pasaran halal di China, sekali gus membuka peluang meneroka pasaran yang lebih luas.

ICTCC merupakan inisiatif korporat swasta yang ditubuhkan oleh beberapa entiti perniagaan yang terdiri daripada Cangkat Cendana Group Sdn. Bhd., Topwork Global (M) Sdn. Bhd., Persatuan Muafakat One Belt One Road dan Global Networks (Beijing) IIC Services Co. Ltd.

Pengerusi ICTCC, Datuk Suhaidi Sulaiman berkata, diasaskan dengan visi untuk meningkatkan industri halal pada skala global, ICTCC menyediakan PKS akses kepada ekosistem pasaran digital, ruang simpanan gudang bebas cukai, peluang pembiayaan perniagaan, padanan perniagaan serta peluang lain di pasaran China dan negara lain.

“ICTCC berada di Zon Ekonomi Bebas, Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Daxing di Langfang dan bakal dipenuhi syarikat PKS bermula September ini sebelum dijangka beroperasi sepenuhnya pada November 2024,” katanya pada majlis pe­ngumuman kerjasama kelmarin.

Acara tersebut turut menyaksikan penyerahan sumbangan bernilai RM50,000 daripada ICTCC kepada HDC, sebagai rakan strategik Persidangan Perniagaan Halal Dunia yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur, bulan depan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata, China merupakan destinasi eksport produk halal utama negara melibatkan nilai RM6.25 bilion tahun lalu, yang mewakili 11.6 peratus daripada RM54 bilion jumlah keseluruhan eksport halal Malaysia pada 2023.

“Kerajaan menerusi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan HDC sentiasa berusaha meningkatkan jumlah PKS berstatus halal yang berupaya mengeksport ke negara yang memiliki jumlah penduduk muslim yang tinggi ini menerusi akses pembiayaan, pasaran, latihan, perundingan dan pemasaran di­gital,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI