fbpx

Keputusan rayuan akhir Peter Anthony ditentukan kemudian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peter Anthony ketika hadir di Mahkamah Rayuan hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menangguhkan keputusannya terhadap rayuan akhir bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony yang dihukum penjara tiga tahun dan denda RM50,000 atas sabitan memalsukan kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan 10 tahun lalu.

Panel tiga hakim yang diketuai Ahmad Zaidi Ibrahim menangguhkan keputusan itu selepas selesai mendengar hujahan daripada peguam Datuk Nicholas Kow Eng Chuan yang mewakili Peter, 53, dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mewakili pendakwaan.

“Kita akan menetapkan tarikh lain untuk keputusan,” kata hakim Ahmad Zaidi.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.

Mahkamah menetapkan 16 Ogos ini bagi pengurusan kes bagi penetapan tarikh untuk panel hakim memberi keputusan.

Terdahulu, peguam itu semasa hujahan menyatakan, bahawa pertuduhan terhadap anak guamnya selaku perayu adalah cacat kerana tiada tandatangan pada kertas pertuduhan.

Beliau berkata, mengikut Seksyen 172 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ), semua pertuduhan yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi hendaklah dibawa atas nama pendakwa raya dan ditandatangani.

Menjawab persoalan pihak pembelaan itu, pihan pendakwaan berkata, ketiadaan tanda tangan pada kertas pertuduhan tidak membawa kepada satu salah laksana keadilan atau ‘miscarriage of justice’.

Menurutnya, pertuduhan yang dikemukakan, sama ada asal atau dipinda, telah dibacakan dan diterangkan kepada perayu.

“Perayu juga memahami pertuduhan yang dibacakan kepadanya, maka ketiadaan tanda tangan pada kertas pertuduhan hanyalah satu ketidakmasukan atau ‘omission’ yang tidak boleh dianggap sebagai salah laksana keadilan.

“Terma tersebut kebiasaanya digunakan apabila seseorang tidak mendapat satu perbicaraan yang adil,” katanya.

Pada 19 April 2023, Peter memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 atau penjara 15 bulan, yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi pada 18 April tahun lepas, dan ini merupakan rayuan terakhirnya di Mahkamah Rayuan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache menolak rayuan Peter, setelah bersetuju dengan dapatan hakim bicara Mahkamah Sesyen, bahawa ahli politik itu memalsukan dokumen bagi mendapatkan projek di Universiti Malaysia Sabah (UMS), sedangkan tertuduh mengetahui projek itu dibuat melalui tender terbuka.

Dia sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, di Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014, didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI