fbpx

Kementerian Komunikasi lancar Panorama TV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa (tiga kiri) ketika gimik memotong riben pada Majlis Pelancaran Panorama TV Asia di Melawati Mall hari ini. - Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi hari ini merasmikan pelancaran perkhidmatan televisyen internet terbaharu, Panorama TV Asia Broadcast (Panorama TV) yang dijangka akan merubah pengalaman penonton Malaysia.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Panorama TV telah berkolaborasi dengan rakan kongsi dari Indonesia yang menawarkan pelbagai kandungan yang menarik dan memenuhi keperluan populasi yang beragam di seluruh nusantara.

Beliau berkata, Panorama TV yang mengutamakan rancangan kesihatan menawarkan tiga saluran kesihatan yang berkongsi nasihat berkaitan gaya hidup sihat.

“Saluran ini dapat menjadi wadah kepada penonton untuk memulakan atau meneruskan gaya hidup sihat, selari dengan kesedaran awam yang semakin baik mengenai kesihatan.

“Sehubungan dengan itu, saya yakin bahawa pihak Panorama TV akan merujuk kepada Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia yang diterajui oleh Forum Kandungan (CMCF) untuk memastikan standard kandungan yang tinggi selaras dengan amalan terbaik (best practices) antarabangsa dan tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui ucapan yang dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa ketika majlis perasmian Panorama TV di sini hari ini.

Sementara itu katanya, kod kandungan tersebut akan memastikan penonton ditawarkan kandungan yang bukan sahaja berkualiti tinggi, tetapi juga mengelakkan kandungan memudaratkan.

“Dalam pada itu, peranti set ‘top box’ atau dekoder daripada Panaroma TV ini telah diperakui oleh SIRIM QAS International selaku agensi perakuan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Jadi, suka untuk saya mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan penjualan sebarang peranti set top box atau Android dekoder termasuk yang didakwa mempunyai perakuan SIRIM tetapi ditawarkan dengan aplikasi penstriman yang boleh mengakses kandungan penyiaran yang dilindungi hak cipta tanpa melalui penyedia perkhidmatan penyiaran secara sah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Panorama TV, Tan Sri Datuk Ir. Zaini Omar berkata, pelancaran itu bertujuan untuk menyahut inisiatif kerajaan Malaysia di bawah kerangka Malaysia Madani, mempromosikan visi “kemampuan untuk semua” dalam pendidikan, hiburan dan berita.

“Kami telah menerima maklum balas yang sangat positif dan kagum dengan kebolehpercayaan dan kestabilan teknologi kami.

“Dengan pelbagai saluran, ini akan membantu Malaysia mengurangkan penggunaan kotak set-up haram,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI