PETALING JAYA – Penat dengan masalah duit belanja anak hilang, dipinjam rakan kelas serta sukar mencari wang kecil untuk dibekalkan kepada mereka ke sekolah menyebabkan segelintir ibu bapa menyarankan pihak kantin menyediakan sistem pembayaran tanpa tunai.
Menerusi perkongsian seorang ibu di Facebook baru-baru ini, beliau menekankan keperluan pihak Kementerian Pendidikan (KPM) meneliti cadangan untuk beralih kepada sistem pembayaran tanpa tunai bagi mengatasi pelbagai masalah yang dihadapi oleh murid serta ibu bapa.
Katanya, antara masalah yang dihadapi adalah kebanyakan anak-anak di sekolah rendah sering keciciran wang belanja disebabkan terlalu aktif di dalam kelas.
“Anak hilang duit sebab cuai, kes kecurian duit dekat sekolah, kes terlebih bayar (ini saya pernah tengok depan mata sendiri, saya beli makanan dekat kantin sekolah pelajar depan saya bayar RM1 untuk makanan 50sen tetapi tak dapat baki).
“Selain itu banyak juga kes anak membazir duit beli makanan tak sepatutnya terutama makanan, jajan yang tak sihat. Kalau tak bawa duit cukup, anak pula tak cukup makan dan akhirnya kelaparan,” katanya.
Selain itu, katanya kebanyakan ibu bapa zaman kini lebih menggunakan sistem ‘cashless’ untuk membuat pembayaran sehingga mereka tidak mempunyai wang fizikal di dalam dompet.
“Sila tambah baik. Boleh tak kantin sekolah ‘upgrade’ sistem pembayaran sebab sekarang semua nak cashless, dari Touch ‘n Go ke e-dompet mak pak tak ada dah duit fizikal nak bagi dekat anak-anak
“Satu hal nak kena cari duit tukar malam-malam buta bila lupa ‘cash’ dah habis untuk anak-anak esoknya,” katanya.
Dalam pada itu, wanita tersebut berkongsi beberapa cadangan yang boleh diaplikasi oleh pihak kantin sekolah.
“Boleh buat sistem credit (ini masa dekat UPM (Universiti Putra Malaysia) guna kad pelajar). Guna kad ala Touch ‘n Go, mak ayah isi siap siap duit online ke apa ke dalam kad sampai dekat mak cik kantin sebtuh dan tolak sahaja.
“Guna sistem online pelajar (ini masa saya belajar dekat US) Mak ayah tambah nilai sistem online setiap bulan ikut berapa banyak nak, anak cuma maklumkan nama sahaja dekat kaunter mak cik kantin.
“Buat bayaran sebulan terus (ini cara masa Aliyah Ammar belajar dekat UK) mak cik kantin bagi menu sebulan, mak ayah bayar sebulan terus,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE