fbpx

Chandipura ‘menggila’, 38 terbunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pekerja kesihatan menyembur asap bagi mencegah pembiakan nyamuk di pinggir bandar Ahmedabad pada 5 Mac 2021. - AFP

NEW DELHI –  Sekurang-kurangnya 38 orang dengan kebanyakan mereka kanak-kanak, meninggal dunia akibat penularan  wabak Chandipura yang menyerupai rabies atau penyakit anjing gila, lapor akhbar The Sun UK kelmarin.

Penyakit kurang dikenali itu berpindah daripada serangga kepada manusia dan kini menular di India.

Chandipura boleh mengancam nyawa pesakit  hanya enam jam selepas seseorang dijangkiti.

Pensyarah Kanan Mikrobiologi Perubatan Universiti Westminster, Manal Mohammed berkata, wabak itu adalah yang paling buruk pernah berlaku di India dalam tempoh lebih dua dekad.

“Sekurang-kurangnya 38 orang dengan kebanyakan mereka kanak-kanak dan remaja, meninggal dunia sejak awal Jun 2024. Ia merupakan wabak terburuk virus Chandipura di India sejak lebih 20 tahun lalu,” katanya.

Virus Chandipura tergolong dalam keluarga sama dengan kuman yang menyebabkan rabies. Penyakit itu boleh menyebabkan radang otak dikenali sebagai ensefalitis.

Chandipura  menjangkiti manusia daripada lalat pasir, tetapi nyamuk dan kutu juga diketahui turut membawa virus tersebut.

Gejala awal menyerupai  selesema, namun ia boleh berkembang dengan cepat dalam masa 24 jam kepada ensefalitis, koma dan membawa kematian.

Kanak-kanak di bawah umur 15 tahun adalah yang paling terdedah kepada virus tersebut, manakala bukti sedia ada menunjukkan sehingga 76 peratus daripada mereka yang dijangkiti akan mati.

Tiada ubat untuk merawat pesakit Chandipura setakat ini dan tiada vaksin untuk mencegahnya. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI