LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta percaya kualiti dan kemahiran tinggi dimiliki Riccardo Calafiori mampu membantu pasukannya memburu kejuaraan utama terutamanya trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Setelah menunggu lama, The Gunners akhirnya berjaya melengkapkan perpindahan menandatangani khidmat bek kiri Itali itu dari Bologna dengan kontrak selama lima tahun yang boleh mencecah nilai keseluruhan £42 juta (RM248.88 juta).
Arteta percaya kehadiran pemain berusia 22 tahun itu pastinya akan menguatkan lagi barisan pertahanannya selepas ini biarpun Arsenal adalah pasukan paling kurang bolos dalam kempen EPL musim lalu.
“Riccardo (Calafiori) mempunyai karakter dan personaliti menarik dengan kemahiran tertentu yang akan menguatkan pasukan dalam usaha kami memburu trofi-trofi utama.
“Dia telah membuktikan perkembangannya sejak kebelakangan musim ini dengan prestasi yang sangat bagus buat Bologna dan juga Itali. Jujurnya kami memang teruja dengan peningkatan ini.
“Kami tak sabar untuk bekerja bersama dan cuba membantunya menyesuaikan diri secepat mungkin dalam skuad ini,” kata Arteta.
Peluang Calafiori untuk mengisi posisi bek kiri dilihat cerah disebabkan kecederaan tiga pemain Oleksandr Zinchenko, Jakub Kiwior dan Takehiro Tomiyasu yang dijangka terlepas kempen awal EPL musim ini.
Bagaimanapun, Jurrien Timber yang terlepas kempen musim lalu kerana masalah kecederaan, menjadi salah seorang pencabar Calafiori bagi posisi berkenaan. – AGENSI