fbpx

BNM sita barang mewah, 92 akaun bank bernilai lebih RM30 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Bank Negara Malaysia (BNM) merampas serta menyita pelbagai barangan mewah serta 92 akaun bank membabitkan nilai lebih RM30 juta milik syarikat pelaburan yang disyaki menjalankan aktiviti penipuan pelaburan.

BNM dalam satu kenyataan memaklumkan, rampasan dan sitaan dibuat hasil operasi bersepadu yang dijalankan di 12 premis sekitar Lembah Klang, sejak kelmarin.

Katanya, serbuan tersebut hasil kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), CyberSecurity Malaysia (CSM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Pusat Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

“Tindakan penguatkuasaan bersama diambil terhadap XFOX Market Sdn Bhd dan beberapa entiti lain kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan

“Dalam serbuan itu, pelbagai dokumen dan barangan berkaitan yang diperlukan bagi membantu siasatan dirampas selain turut dirampas pelbagai aset seperti emas, wang tunai berjumlah lebih RM4.85 juta termasuk mata wang asing, mata wang kripto, kenderaan dan barangan mewah.

“Selain itu, 92 akaun bank berjumlah RM25.4 juta dan peti simpanan dibekukan,” kata BNM dalam kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, BNM menjelaskan bahawa siasatan dijalankan mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Seksyen 112 dan 113 Akta Cukai Pendapatan 1967, Seksyen 27B Akta Skim Jualan Langsung dan Anti Piramid 1993 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Sehubungan itu, BNM menggesa orang ramai untuk berwaspada dan melabur dengan entiti berlesen atau berdaftar dengan pihak berkaitan.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya berhati-hati mengenai peluang pelaburan yang menawarkan pulangan tinggi terutama di media sosial, e-mel atau telefon pintar.

“Sebarang aktiviti mencurigakan itu boleh dilaporkan menerusi Pusat Panggilan BNMLink di talian 1-300-88-5465 atau eLink bnm.gov.my atau KPDN di 1-800-886-800 atau eaduan.kpdn.gov.my atau Suruhanjaya Sekuriti di talian 03-62048999 atau [email protected],” pesan BNM. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI