PETALING JAYA – Menitipkan pesanan agar terus kuat, komposer dan penyanyi, Ajai berharap penyanyi Hafiz Suip tidak patah semangat untuk meneruskan kerjaya sebagai anak seni.
Ujar Ajai atau nama sebenarnya, Mohd Faizal Maas, 49, amat merugikan andai Hafiz menyepi dari radar industri nyanyian kerana dia memiliki vokal yang bagus.
“Saya titipkan kata-kata terus kuat supaya Hafiz kembali bersemangat untuk menyanyi. Hafiz ada suara emas, jadi sayang jika bakat dipersiakan begitu sahaja.
“Sebelum ini, kita tahu Hafiz seperti patah semangat menerusi kenyataan pernah dibuat dalam Tik Tok. Namun, Hafiz kelihatan okey ketika sesi latihan sempena Konsert By Ajai & Mega Friends, baru-baru ini. Mungkin sudah dapat kekuatan semula.
“Bagi saya, Hafiz sangat profesional. Walau apapun masalah dihadapi, dia menepati masa dan tak campur adukkan soal peribadi dengan kerja,” katanya kepada Kosmo! Online.
Pelantun lagu Keliru itu turut memuji vokal emas juara Akademi Fantasia musim ke-7 (AF7) itu selain kagum dengan kegigihannya yang sanggup terbang ke Kuala Lumpur dan pulang semula ke Sarawak sebaik latihan selesai.
“Hafiz menjalani latihan bersama saya selama dua hari. Selepas itu, Hafiz pulang semula ke Sarawak. Itu yang buat saya sangat kagum dengannya.
“Kita tak tahu apa yang terbuku dalam hati Hafiz, namun tetap berikan komitmen dan tak mungkir jadual latihan. Sebagai seorang yang lebih berpengalaman, saya pesan kepada Hafiz tak boleh tinggalkan dunia seni.
“Seni adalah kehidupan buatnya. Sejujurnya, saya tak nak ambil tahu apa yang berlaku, tapi saya berpesan apapun terjadi, Hafiz kena kuat dan ‘move on’,” ujarnya.
Sebelum ini, perkongsian foto dan video sesi latihan Ajai bersama Hafiz dalam Instagram mengundang rasa teruja peminat yang sudah lama menantikan idola mereka beraksi di pentas berskala mega.
Konsert ByAjai & Mega Friends yang bakal berlangsung pada 3 Ogos depan di Megastar Arena Kuala Lumpur.
Selain Hafiz dan Ajai, konsert berkenaan bakal dijayakan Dayang Nurfaizah, Hazama, Aina Abdul dan Aufahanie.
Terdahulu, Hafiz menganggap dirinya sudah tidak relevan untuk menyanyi.
Kenyataan itu dibuat ketika membalas komen seorang pengguna media sosial yang memintanya untuk kembali aktif dalam industri hiburan.
Pun begitu, ada segelintir netizen yang memahami keputusan penyanyi itu untuk berehat dan tidak muncul dalam mana-mana pentas mahupun kaca televisyen.
Dalam masa sama, timbul dakwaan rumah tangganya bersama isteri, Nureffy Jesreel Abdullah sedang goyah.
Sebelum itu, Hafiz didakwa menghilangkan diri selepas menyahaktif akaun Instagram miliknya.– KOSMO! ONLINE.