PUTRAJAYA – Kenyataan yang dilemparkan bekas Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga Sreenevasan disifatkan sebagai tidak berpijak di bumi nyata susulan dakwaan kerajaan bersikap diktator laksana kawalan kandungan internet dan pelesenan platform media sosial.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, semua pihak bebas menyatakan pandangan termasuk Pengerusi Bersih ketika ini, namun sebarang teguran yang mahu disampaikan mesti dilihat dalam konteks yang sebenar.
Beliau turut meminta agar Ambiga membuat perbandingan cara layanan kerajaan ketika ini dengan terdahulu kepada mereka yang melakukan demostrasi.
“Itu kenyataan hyperbola, Ia adalah tidak berpijak bumi nyata. Bukan kerajaan ini yang lakukan Op Lalang, bukan kerajaan ini bertindak memukul demonstran, malah baru-baru ini sekumpulan demonstran membuat demonstrasi di depan pusat khidmat Perdana Menteri di Tambun.
“Mereka tidak disambut dengan cota dan gas pemedih mata, tetapi mereka diberikan air dan roti. Kalau berdasarkan perkara seperti ini, maka mereka berpandangan seperti itu, beliau ada hak menyatakan pandangan tapi teguran diberikan termasuk Pengerusi Bersih sekarang pun dan individu lain mesti lihat dalam konteks sedia ada.
“Saya tak setuju pandangan beliau, saya jemput beliau meneliti semula sejarah perjuangan termasuk sesi himpunan Bersih yang beliau kepalai bagaimana mereka yang membuat protes dilakukan, keadaan itu tak wujud langsung sekarang. Dia salah target, mungkin pemimpin dahulu,” katanya pada sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu turut memaklumkan, perbincangan berhubung Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) telah diadakan bersama semua penyedia media sosial bermula Februari lepas.
Jelasnya, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berbincang dengan semua platform media sosial, malah 79 organisasi berkaitan dijemput termasuk badan-badan pemikir yang cenderung kepada parti pembangkang, namun hanya 27 pihak yang hadir.
Fahmi berkata, gerakan Bersih juga turut dijemput namun pihak mereka tidak hadir termasuk Parti Muda.
“Semua maklum balas disampaikan selain NGO, badan hak asasi manusia, malah individu dijemput menyampaikan pandangan.
“Ini bukti kerajaan terbuka menerima pandangan kritikan membangun, kita perlu mengimbangi keperluan hak rakyat bersuara dan hak mengguna dengan selamat,” ujarnya.
Beliau berkata, hak rakyat untuk bersuara kekal terjamin seperti termaktub dalam perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, tetapi pada masa sama kerajaan perlu memastikan undang-undang sedia ada terpakai dan tidak berlaku perlanggaran. – KOSMO! ONLINE