fbpx

Zii Jia ke pusingan kedua Olimpik Paris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua pada Sukan Olimpik Paris 2024 selepas muncul juara bagi saingan Kumpulan G. - AFP

KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia meneruskan kemaraan ke pusingan kedua pada Sukan Olimpik Paris 2024 apabila muncul juara Kumpulan G selepas menewaskan pemain Sepanyol, Pablo Abian.

Pada aksi terakhir peringkat kumpulan yang berlangsung di Porte de la Chapelle Arena, Paris sebentar tadi, bekas juara Asia dan All England itu mudah mencatat kemenangan straight set 21-10, 21-13.

Keputusan tersebut menyaksikan Zii Jia mencatat kemenangan kedua ke atas pemain berusia 39 tahun itu selepas pertemuan pertama mereka pada Terbuka Hylo tiga tahun lalu turut memihak kepadanya.

Pada perlawanan sebentar tadi, Zii Jia yang turun sebagai pemain pilihan dilihat beraksi dalam keadaan lebih santai apabila serangan-serangan dilakukan Abian tidak banyak mendatangkan bahaya kepadanya.

Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu meletakkan dirinya berada dalam situasi selesa apabila memenangi set pertama dengan 21-10 walaupun cuba diberi tentangan oleh Abian.

Memasuki set kedua, Abian memperkemaskan permainannya menerusi pukulan-pukulan smash kencang sehingga berjaya memaksa Zii Jia untuk meningkatkan tahap permainan bagi mengekang asakan yang dilakukan terhadapnya.

Seolah-olah mahu menghabiskan permainan lebih awal, Zii Jia kemudiannya mula menampilkan aksi sebenar menerusi serangan-serangan yang lebih kemas sebelum melengkapkan kemenangan muktamad 21-13.

Selepas ini, Zii Jia dijadualkan bertemu juara Kumpulan H yang akan menjadi rebutan antara pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting dan wakil tuan rumah, Toma Junior Popov pada pusingan kedua nanti. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI