RANTAU PANJANG – Seorang wanita yang dipercayai mengalami kemurungan diselamatkan oleh anggota bomba selepas terjatuh ke dalam perigi sedalam hampir 10 meter di sebuah rumah di Felcra Bukit Tandak, Zon Muhibah di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Shapawi Stapa berkata, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.29 pagi tadi sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, anggota bomba tiba pada pukul 5.55 pagi sebelum mendapati seorang wanita berusia 58 tahun berada dalam keadaan berdiri selepas terjatuh ke dalam perigi itu.
“Anggota bertugas terus menjalankan operasi menyelamatkan wanita berkenaan dengan menggunakan tali. Mangsa berjaya dibawa keluar dalam keadaan selamat kira-kira pukul 6.07 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, mangsa yang menggigil kesejukan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut dan operasi menyelamat tamat kira-kira pukul 6.18 pagi. – KOSMO! ONLINE – KOSMO! ONLINE