TEMERLOH – Pihak berkuasa diarah menangani pencerobohan tanah kerajaan secara haram dengan tegas dan bersepadu di seluruh negeri bagi mengelakkan kerugian besar.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika bertitah mengakui sudah banyak kerugian yang ditanggung kerajaan negeri susulan penerokaan haram tersebut.
“Kita (kerajaan) tidak boleh rugi lagi dengan sumber-sumber hasil, yuran, sewa tanah dan sebagainya di mana ada mengambil keuntungan atas angin aktiviti penerokaan tanah itu.
“Sudah berpuluh tahun rugi, dah sampai masa kerajaan celik dan beri fokus dengan masalah ini, kalau tidak masalah lebih besar seperti mana kita lalui sekarang,” titah baginda selepas berkenan berangkat bercemar duli sempena lawatan rasmi adinda Raja Jordan, Putera Ali Ben Al-Hussein ke Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC) dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) di Lanchang di sini hari ini.
Turut berangkat, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Titah Al-Sultan Abdullah lagi, tumpuan isu tersebut bukan sahaja di Tanah Tinggi Cameron Highlands malah meliputi seluruh daerah di Pahang seperti Raub, Bentong dan Rompin.
Sebelum ini, baginda turut menzahirkan kebimbangan apabila tanah di Pahang mula ‘dijajah’ oleh pendatang asing secara terang-terangan disebabkan kurang nilai integriti.
Baginda bertitah, sebagai contoh tanah-tanah di Cameron Highlands yang dipajak dan disewa kepada petani serta pengusaha kini telah disewakan kepada warga asing. – KOSMO! ONLINE