IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan berangkat ke sambutan Hari Pahlawan 2024 peringkat negeri yang diadakan di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris; Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Shamsuddin Ludin dan Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Asri Shukor
Istiadat bermula dengan perarakan masuk panji unit dan kawalan kehormatan utama dengan iringan pasukan pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kedah.
Sebaik kawalan kehormat selesai, tiupan paluan akhir (Last Post) dimainkan dan bendera Jalur Gemilang kemudian diturunkan kemudian diteruskan dengan bacaan doa khas Hari Pahlawan serta persembahan deklamasi sajak berjudul ‘Darah Yang Terpercik Di Baju’.
Sebaik selesai, tiupan Rouse kemudian dimainkan dan Jalur Gemilang kembali dinaikkan semula diikuti lagu kebesaran negeri Perak sebelum kawalan kehormatan utama keluar perbarisan menandakan penamat acara sambutan. – KOSMO! ONLINE