KUALA LUMPUR – Walaupun hampir setahun representasi dihantar, Peguam Negara masih belum membuat sebarang keputusan terhadap permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menggugurkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.
Tiga pertudhan tersebut adalah berkaitan pengubahan wang haram dari dana syarikat SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM27 juta yang dihadapinya.
Keputusan berhubung representasi yang dihantar pada 2 Ogos 2023 itu juga dijangka tidak akan dibuat dalam masa terdekat.
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul pada sebutan kes tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, K. Muniandy di sini hari ini.
“Tiada sebarang keputusan berhubung representasi. (Saya) tidak menjangkakan sebarang keputusan dalam beberapa bulan akan datang. Tetapi saya akan maklumkan kepada pihak-pihak sekiranya terdapat sebarang perubahan,”katanya.
Sementara itu, perbicaraan yang ditetapkan untuk bermula September ini ditangguhkan ke April 2025.
Ia selepas peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon penangguhan tersebut bagi memberi laluan kepada beberapa kes lain yang dihadapi bekas Presiden Umno itu.
Kes-kes lain yang dihadapi Najib ketika ini ialah kes saman sivil oleh SRC International yang menuntut ganti rugi AS$1.18 bilion yang akan menyambung perbicaraannya pada 15 Ogos ini dan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijadualkan untuk pendengaran hujahan di akhir kes pendakwaan selama empat hari bermula 19 Ogos ini.
Najib turut didakwa bersama-sama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah berhubung kes pecah amanah harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion yang akan mula dibicarakan November ini.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh perbicaraan baharu iaitu pada 21 hingga 25 April dan 19 hingga 23 Mei 2025.
Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, iaitu menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya.
Najib didakwa melakukan kesalahan terbabit di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE.