IPOH – Perak sedia untuk terus menganjurkan program yang dapat menghimpukan tokoh-tokoh antarabangsa bagi membincangkan pelbagai isu terutama permasalahan dunia Islam.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, komitmen itu terbit berikutan kejayaan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT 2024) Ke-7 di Ipoh anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).
“Kita telah berjaya untuk menjemput tokoh dari luar. Mereka pun menunjukkan komitmen yang tinggi. Komitmen itu menggambarkan bagaimana mereka mempercayai bahawa WCIT ini adalah satu platform yang boleh diguna pakai.
“Negeri Perak bersedia untuk memperluaskan lagi skop ini dan saya percaya ia adalah untuk keharmonian dan kebaikan dunia,” katanya selepas upacara penutupan WCIT 2024 di sini hari ini yang berlangsung sejak Isnin lalu dan berkenan dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Semalam, Pemikir ekonomi, Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali mencetuskan idea supaya Kuala Kangsar dan Perak dijadikan pusat tumpuan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dianggotai 57 negara seperti mana bandar kecil Davos di Switzerland, iaitu lokasi popular oleh pihak Barat untuk penganjuran Forum Ekonomi Dunia.
Sepanjang tiga hari penganjuran, antara nama popular yang hadir untuk menyertai sesi bual bicara ialah bekas Menteri Hubungan Antarabangsa Afrika Selatan, Naledi Pandor. – KOSMO! ONLINE