GEORGE TOWN – Penduduk Pulau Pinang meluah rasa lega apabila hujan lebat mulai turun di beberapa daerah negeri ini, sebentar tadi setelah hampir sebulan berdepan dengan cuaca panas terik.
Mereka terdiri penduduk dari daerah Barat Daya, Seberang Perai Utara, Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah masing-masing berkongsi kegembiraan menerusi satu platform media sosial Facebook komuniti, sebentar tadi.
Hujan lebat dilaporkan mulai turun di kawasan-kawasan berkenaan sekitar pukul 11 pagi tadi manakala sesetengah kawasan seperti di Daerah Timur Laut dan sebahagian lokasi di Daerah Barat Daya pula renyai.
“Syukur Alhamdulillah..Hujan lebat turun membasahi sebahagian bumi Pulau Pinang sekarang ini,” demikian hantaran yang dimuat naik di platform tersebut.
“Sungai Bakap hujan lebat beserta ribut..Alhamdulillah…,” tulis seorang pengguna media sosial.
“Sudah hampir sebulan tak turun hujan, hari ini hujan sekali guruh. Terpegun seketika,” kata seorang lagi pengguna.
“Balik Pulau hujan turun, cuaca mendung jerebu pun sama. Harap dam (empangan) di Pulau Pinang penuh dengan ayar (air). Sudah kurang kapasiti tu,” balas pengguna lain.
Dalan pada itu, rata-rata pengguna media sosial turut berkongsi gambar-gambar suasana hujan di tempat mereka termasuk di Kulim, Kedah.
Terdahulu, media melaporkan pengguna air di Pulau Pinang dinasihatkan agar mengurangkan penggunaan air sebanyak 10 peratus sehingga musim hujan yang dijangka bermula pada September depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K. Pathmanathan berkata, dalam tempoh Januari hingga Jun lalu, purata penggunaan air di Pulau Pinang adalah 887 juta liter sehari (JLH). – KOSMO! ONLINE