fbpx

‘Pembunuhan itu bagi gagalkan rundingan keamanan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (kanan) bersalaman dengan Ismail dalam sebuah pertemuan sebelum ini. - Foto Facebook Anwar Ibrahim

PETALING JAYA – Pembunuhan tragik dan kejam pemimpin Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh jelas bertujuan untuk menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung bagi mengakhiri kekejaman rejim Zionis Israel di Gaza yang meragut lebih 40,000 nyawa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembunuhan besar-besaran di Gaza hanya boleh berlaku kerana wujudnya tanggapan bahawa tidak ada sesiapa yang akan dipertanggungjawabkan dan dihukum.

Ujarnya, hanya mereka yang tiada sifat kemanusiaan sahaja yang tidak menyedari keperluan untuk meningkatkan tekanan terhadap rejim biadab Zionis Israel bagi menghentikan pembantaian.

“Rakyat Palestin telah dihadapkan dengan malapetaka dan penderitaan selama berdekad lamanya, dan saya amat bimbang tentang nasib mereka susulan pembunuhan saudara Ismail.

“Justeru, saya mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas saudara Ismail Haniyeh hari ini.

“Saya berduka atas kehilangan seorang sahabat yang akrab dan tokoh pejuang sejati rakyat Palestin,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Tambah Anwar lagi, beliau menyifatkan beberapa pihak yang mengkritik pertemuan beliau bersama Allahyarham Ismail sebelum ini telah gagal dalam menghargai perjuangan pemimpin Hamas itu.

“Mereka yang telah mengkritik saya saat ketemu saudara Ismail sebelum ini telah gagal menghargai keinginan mendalam Almarhum untuk sebuah Timur Tengah yang aman dan pembentukan sebuah negara Palestin yang tertegak dengan maruah dan kebebasan,” ujarnya.

Terdahulu, kumpulan pejuang Palestin, Hamas mengesahkan bahawa ketuanya, Ismail Haniyeh terbunuh dalam ‘serbuan’ Israel di kediamannya di Tehran, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) hari ini.

Ismail dilaporkan meninggal dunia selepas menyertai acara pelantikan presiden baharu (Iran), Masoud Pezeshkian yang mengangkat sumpah pada Selasa (semalam). – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI