ALOR SETAR – Operasi pembenihan awan (OPA) yang dilakukan selama tiga hari bermula Isnin lalu setakat ini berjaya membantu meningkatkan aliran kemasukan air ke takungan Empangan Muda.
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, Stesen Hujan di Empangan Muda pada semalam merekodkan bacaan sebanyak 2 milimeter (mm) turunan hujan di kawasan tadahan empangan.
“Penilaian yang dibuat pada semalam, pihak MADA mendapati terdapat peningkatan isipadu aliran masuk (inflow) ke Empangan Muda sebanyak 1,037 ekar kaki berbanding purata (inflow) harian bagi bulan ini iaitu 416 ekar kaki sebelum pelaksanaan OPA.
“Pihak MADA masih menilai keberkesanan dan kejayaan pelaksanaan OPA memandangkan ia akan diteruskan pada hari ini,” katanya.
Katanya, status keseluruhan kedudukan semasa takungan air di tiga empangan seliaan MADA adalah sebanyak 539,786 ekar kaki bersamaan 44.14 peratus.
“Kapasiti takungan Empangan Pedu adalah sebanyak 347,420 ekar kaki bersamaan 39.71 peratus, Empangan Muda sebanyak 10,050 ekar kaki bersamaan 8.04 peratus dan Empangan Ahning sebanyak 182,316 ekar kaki bersamaan 81.76 peratus,” ujarnya.
Menurut kenyataan itu lagi, aktiviti penanaman padi telah mencapai 99.3 peratus iaitu seluas 99,963.9 hektar, berbunga dengan keluasan 4,051.8 hektar dan telah mencapai peringkat masak sebanyak 0.10 peratus dengan keluasan 67.4 hektar, manakala aktiviti menuai sebanyak 0.10 peratus dengan keluasan 60.4 hektar.
Katanya, sumber air utama pengairan padi bagi Musim 1/2024 adalah daripada pelepasan empangan.
“Berdasarkan kepada status kemajuan aktiviti penanaman padi Musim 1/2024 sehingga hari ini dianggarkan baki keperluan bekalan pengairan untuk penanaman padi adalah sebanyak 229,216 ekar kaki.
“Pada masa kini, pihak MADA telah melepaskan sebanyak 3,100 kaki padu sesaat dari Empangan Pedu bagi tujuan pengairan, domestik dan industri,” jelasnya
Sehubungan itu, katanya, jumlah keseluruhan takungan air masih mampu memenuhi permintaan dan keperluan serta mencukupi bagi tujuan pengairan tanaman padi bagi musim semasa, kegunaan domestik dan industri. – KOSMO! ONLINE