PAPEETE – Gambar peluncur Brazil, Gabriel Medina memikat hati netizen selepas dia yang berusia 30 tahun, dirakam ‘menentang graviti’ semasa Sukan Olimpik Paris 2024 di Tahiti, lapor akhbar New York Post semalam.
Semasa bersaing dengan Kanoa Igarashi dari Jepun, Medina mencatatkan skor hampir sempurna iaitu 9.90. Ia merupakan markah tertinggi dalam sejarah sukan itu, lapor saluran berita CNN.
Ketika Medina meraikan kemenangannya, jurugambar agensi berita AFP, Jerome Brouillet merakam peluncur itu ‘terbang’ di udara dengan papan luncur berada di sisinya.
“Salah satu gambar Olimpik terhebat!” tulis seorang netizen di platform X.
“Itu adalah epik,” kata pengguna lain.
Bagi Brouillet, dia dapat merakam gambar tersebut kerana gaya juara dunia tiga kali itu berada dalam keadaan sempurna.
“Ombaknya lebih tinggi daripada yang kami jangkakan,” katanya dalam temu bual dengan akhbar The Guardian.
“Tidak sukar untuk merakam gambar itu,” tambahnya. – AGENSI