PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil perhatian serius laman media sosial palsu yang menggunakan nama dan logo rasmi kementerian berkenaan.
KPM menegaskan, sebarang kegiatan yang dilakukan melalui media sosial itu bukan di bawah kendalian kementerian tersebut.
“Laman media sosial ini adalah palsu. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terperdaya dengan perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya hari ini.
Kosmo! hari ini mendedahkan sindiket penjualan sijil akademik palsu semakin berani apabila secara terang-terangan mempromosikan kegiatan mereka di media sosial dengan harga serendah RM1,500 sehingga RM4,000.
Kegiatan itu yang menggunakan platform Instagram dan Facebook menyasarkan individu yang terdesak ‘memiliki’ kelayakan akademik bagi tujuan mencari pekerjaan.
Lebih membimbangkan apabila sindiket terbabit berani menyamar dengan nama tertentu kononnya berada di bawah kendalian KPM semata-mata untuk mengaburi orang awam dan pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE.