PETALING JAYA – Beberapa masjid di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan solat jenazah ghaib buat Pemimpin Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh yang terbunuh di kediamannya di Tehran, hari ini.
Antara masjid yang akan melakukannya adalah Masjid Negara Kuala Lumpur, Masjid Putra, Putrajaya dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pada masa yang sama, masjid-masjid dan surau-surau di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) diminta untuk turut mengadakan solat jenazah ghaib.
Katanya, pihak Jakim dan Jawi akan membuat perincian berkaitan perkara tersebut dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Mohd. Na’im berkata, beliau mewakili seluruh warga Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berasa amat dukacita atas pemergian Allahyarham Ismail Haniyeh.
“Sesungguhnya Almarhum adalah seorang pemimpin rakyat Palestin telah memberikan sumbangan bakti dan jasa kepada tindakan serta usaha mempertahankan tanah Palestin.
“Almarhum juga mempertahankan hak-hak rakyat Palestin yang ditindas selama ini. Semoga segala baktinya dicatat sebagai amalan soleh di sisi Allah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, kumpulan pejuang Palestin, Hamas mengesahkan bahawa ketuanya, Ismail Haniyeh terbunuh dalam ‘serbuan’ Israel di kediamannya di Tehran, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) hari ini.
“Ismail dilaporkan meninggal dunia selepas menyertai acara pelantikan presiden baharu (Iran), Masoud Pezeshkian yang mengangkat sumpah pada Selasa (semalam),” katanya.
Ismail, 62, merupakan ketua pejabat politik Hamas dan ahli terkemuka kumpulan itu pada hujung 1980-an.
Beliau pernah dipenjarakan oleh Israel selama tiga tahun pada 1989, ketika Rejim Zionis membanteras pemberontakan Palestin yang pertama.
Allahyarham juga dilantik sebagai Perdana Menteri Palestin pada 2006 oleh Presiden Mahmoud Abbas, selepas Hamas memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya, sebelum dilucutkan jawatan setahun kemudian. – KOSMO! ONLINE.